16 Ogo 2010

istilah-istilah tasauf


abadi: Tidak ada kesudahan. Kesudahan bagi tiap-tiap yang bernyawa adalah kematian dan kesudahan bagi makhluk ciptaan Tuhan adalah kiamat. Dalam suasana yang abadi kematian dan kiamat tidak ada lagi. Ini adalah suasana akhirat.
 
abd: Makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t dan dihukumkan bahawa mereka berhajat dan bergantung kepada-Nya. Tidak ada makhluk yang boleh berdiri sendiri tanpa sokongan Tuhan.

Abdul Rab: Hamba Tuhan. Keterangannya lihat Hakikat Abdul Rab.

abid: Hamba yang dikuasai oleh rasa ketidak-upayaan diri dan dia semata-mata bergantung kepada daya dan upaya yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dalam keadaan Dia berhak dan boleh mengambil kembali daya dan upaya tersebut pada bila-bila masa sahaja yang Dia kehendaki. Hamba tersebut bersandar kepada Allah s.w.t semata-mata dan segala kegiatan hidupnya digunakan untuk beribadat kepada-Nya.


‘adam: Sesuatu yang tidak ada atau tidak wujud, yang    merupakan zat asli makhluk. Makhluk diciptakan daripada tidak ada.

af’al:  Perbuatan atau amalan.

afdal: Lebih baik, lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya.

Agama Tauhid: Agama yang tidak menyengutukan Tuhan dengan sesuatu, iaitu agama Islam.

agresif:  Cenderung bertindak ganas.

Ahadiyyah: Keadaan Allah s.w.t Yang Maha Esa yang dibukakan kepada seseorang melalui pengalaman kerohanian.

ahli asbab: Orang yang melihat kepada keberkesanan hukum sebab musabab semata-mata sehingga dia melupakan ketentuan dan pentadbiran Tuhan yang menguasai sistem sebab musabab itu. Pergantungan orang ini hanyalah kepada usaha dan ikhtiar dalam mengadakan sebab untuk menghasilkan akibat. Mereka tidak dapat melihat hakikat kekuasaan Tuhan yang mengawal hukum sebab-akibat tersebut.

ahli bidaah: Orang yang mengamalkan sesuatu yang tidak menurut perkataan, perbuatan dan isyarat yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w.

ahli ilmu: Orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpegang kepada dalil-dalil yang ditemui melalui ilmunya.

ahli kasyaf: Orang yang dibukakan keghaiban kepadanya sehingga mata hatinya dapat menyaksikan hakikat yang ‘berada’ di sebalik yang nyata.


ahli kerohanian: Orang yang telah memasuki bidang atau makam hati dan  mengalami hal-hal yang berhubung dengan Tuhan.


ahli maksiat: Orang yang cenderung membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan. Peringatan dan ancaman yang dibawa oleh Rasul-rasul tidak memberi bekas pada hatinya.

ahli suffah: Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, ada juga kumpulan orang-orang miskin dan faqir ikut sama berhijrah ke sana. Tujuan mereka berhijrah adalah untuk berada di samping Rasulullah s.a.w. Walaupun disediakan tempat tinggal untuk orang-orang yang berhijrah, tetapi tempat tersebut agak jauh dari masjid Rasulullah s.a.w. Kumpulan faqir miskin tadi lebih suka tinggal berhampiran dengan masjid baginda s.a.w. Oleh yang demikian baginda s.a.w mendirikan tempat menginap untuk mereka di beranda masjid. Mereka tang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w itu dipanggil ahli suffah iaitu orang yang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w. Kerja mereka adalah mempelajari wahyu dan hadis dan menyebarkannya kepada kaum Muslimin yang lain.


Ahli Sunah wal Jamaah: Satu bentuk kefahaman dan pegangan di kalangan umat Islam yang dalam banyak perkara berbeza dengan kumpulan-kumpulan yang lain seperti Syiah, Muktazilah dan Khawarij.

ahli taat: Orang yang berpegang teguh kepada hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

ahli tajrid: Orang yang menyaksikan kekuasaan Tuhan ‘berjalan’ pada segala perkara dan kejadian termasuklah sebab-sebab yang menghasilkan akibat-akibat. Apabila mereka melihat ‘tangan’ Tuhan pada segala perkara, maka pegangan dan sandaran mereka hanyalah kepada Tuhan, tidak lagi kepada makhluk yang berjalan dalam hukum sebab musabab.

ahli tarekat: Orang yang mengamalkan sesuatu aliran tarekat.

ahli tasauf: Orang yang arif dalam bidang tasauf.

ahwal: Hal-hal, iaitu pengalaman-pengalaman yang berhubung dengan ketuhanan yang dialami oleh hati.

akidah:  Kepercayaan kepada Tuhan yang dianuti oleh seseorang.

Aku Hakiki: Apabila dikuasai oleh suasana kefanaan yang kuat seseorang itu hilang kesedaran terhadap dirinya. Dia tidak melihat lagi kepada ‘aku’ dirinya, sebaliknya apa sahaja yang mengenai dirinya diisbatkannya kepada Tuhan. ‘Aku’ dirinya diisbatkannya kepada ‘Aku’ Tuhan yang diistilahkan sebagai Aku Hakiki.

Alam Ajsam: Alam jisim. Alam benda-benda.

Alam al-Mulk: Alam nyata, alam yang mengandungi dunia di dalamnya.

Alam Arwah: Alam roh-roh di mana sekalian roh-roh yang Tuhan jadikan ditempatkan sebelum roh-roh tersebut bercantum dengan jasad atau badan.

alam asbab: Suasana yang pada zahirnya sangat ketara dikuasai oleh perjalanan hukum sebab dan akibat.

alam baqa: Lihat baqa.

Alam Barzakh: Tingkat alam selepas bumbung langit rendah iaitu langit dunia. Ia merupakan sebahagian daripada peringkat alam yang dinamakan Alam Malakut Bawah. Roh orang yang jasadnya mengalami kematian dibawa keluar meninggalkan bumbung langit dunia dan ditempatkan di Alam Barzakh.

alam fana: Lihat fana.

Alam Insan: Manusia yang bercantum rohani dan jasad.

Alam Jin: Satu ruang di bawah bumbung langit dunia di mana ditempatkan makhluk halus seperti jin dan lain-lain.

Alam Kabir: Alam besar, iaitu alam makhluk sekaliannya.

Alam Langit: Alam selepas bumbung langit dunia.

Alam Malakut: Alam tempat kediaman malaikat.

Alam Malakut Atas: Bahagian alam yang tinggi, didiami oleh malaikat-malikat dan lain-lain unsur nur yang seni yang bertugas memelihara alam dan menjalankan perintah Tuhan. Alam arwah merupakan sebahagian daripada Alam Malakut Atas. Kursi dan Arasy juga termasuk di dalam bahagiannya.

Alam Malakut Bawah: Bahagian alam selepas alam dunia didiami oleh malaikat-malaikat yang menerima tugas yang berhubung dengan alam bawah. Alam Barzakh termasuk di dalam ruang Alam Malakut Bawah.

Alam Misal: Alam di mana unsur rohani belum bercantum dengan badan kebendaan. Alam Misal jenis ini berada di dalam Alam Malakut. Ia merupakan peralihan daripada Alam Arwah menuju kepada peringkat Alam Nasut, di mana unsur rohani yang dari Alam Arwah itu mendapat badan masing-masing. Alam Misal merupakan perincian kepada Alam Arwah. Pada tahap Alam Misal roh-roh individu mendapat bakat-bakat dan keupayaan masing-masing, hanya menunggu giliran masing-masing mendapatkan tubuh bagi mempamerkan bakat dan keupayaan roh tersebut. Alam Misal jenis kedua berada di bawah bumbung langit dunia, sebagaimana yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda s.a.w melakukan Israk. Dalam Alam Misal jenis kedua ini perkara-perkara ghaib dan abstrak diberikan bentuk atau gambaran bagi melahirkan pengenalan terhadap benda dan perkara tersebut. Dalam Alam Misal inilah Rasulullah s.a.w menemui iman Masitah dalam misal sebagai bau-bauan yang sangat harum.

Alam Nasut: Alam kebendaan di mana unsur rohani mempunyai badan masing-masing.

Alam Saghir: Alam kecil, iaitu manusia atau Alam Insan.

Alam Syahadah: Alam nyata, iaitu bahagian alam yang unsur rohani menerima badan masing-masing.

amal salih: Kebaikan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah s.w.t dan dilakukan dengan ikhlas.

ammarah: Nafsu ammarah.

amr: Urusan atau Perintah Tuhan, iaitu suasana tiada pilihan melainkan menjalankan dengan tepat apa yang Tuhan telah tentukan. Semua maklumat yang lengkap dan terperinci sudah dibekalkan pada amr Tuhan. Ia juga dibekalkan dengan bakat dan keupayaan untuk menyatakan maklumat yang ada padanya.

Ansar: Penolong agama Allah s.w.t dengan jiwa dan harta mereka. Mereka berkhidmat dan berkorban untuk agama Allah s.w.t dalam semua bidang tanpa kepentingan diri sendiri. Mereka sanggup berpisah dengan pemilikan mereka demi membantu saudara-saudara Muslim dan demi jihad pada jalan Allah s.w.t.

Arasy: Sempadan yang memagari semua kejadian Tuhan. Apa sahaja yang Tuhan ciptakan berada di dalam pagar Arasy. Tidak ada satu pun kejadian Tuhan, baik yang nyata, yang ghaib atau yang tersembunyi berada di luar Arasy. Arasy merupakan hijab yang kukuh. Tidak ada makhluk yang berupaya menembusi Arasy untuk berdampingan atau bersekutu dengan Tuhan, walaupun makhluk itu merupakan malaikat yang paling tinggi darjatnya. Ilmu makhluk juga tidak mampu menembusi Arasy walaupun ilmu malaikat yang paling mulia. Arasy adalah daripada unsur nur yang paling latif atau paling seni, lebih seni daripada nur yang menjadi zat kejadian malaikat Jibrail. Oleh sebab itu Jibrail tidak berupaya untuk mengikuti Rasulullah s.a.w memasuki alam Arasy. Nabi Muhammad s.a.w berupaya berbuat demikian kerana roh baginda s.a.w adalah juga daripada unsur nur yang paling latif yang bersesuaian dengan Nur Arasy.

Arasy  Yang Agung: Sempadan Arasy yang paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau kerangka alam.

Arasy Yang Meliputi: Sempadan Arasy yang paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau kerangka alam. 

arifbillah: Orang yang mengenal Allah s.w.t dan memiliki ilmu ketuhanan yang mendalam.

ariffin:  Arifbillah.

asbab: Perjalanan dan keberkesanan hukum sebab musabab sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

aslim: Sifat orang Islam, iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t. Orang yang berserah diri kepada Tuhan melakukan sesuatu menurut peraturan yang Tuhan tetapkan. Mereka juga mengambil manfaat daripada keberkesanan sistem sebab musabab yang Tuhan tentukan tetapi mereka tidak lupa kepada Kuasa Mutlak yang menguasai sistem tersebut. Oleh yang demikian mereka tidak berpisah dengan sifat sabar, tawakal dan reda.

asma’:  Nama, biasanya yang dimaksudkan ialah nama Tuhan.

asyikin: Orang yang mendapat asyik dengan hal ketuhanan seperti nama dan sifat-Nya. Orang yang asyik dengan satu-satu nama Tuhan akan melihat kenyataan nama tersebut pada apa sahaja yang dia pandang. Penyaksian yang demikian melahirkan kelazatan dan kepuasan pada jiwanya. Begitu juga keadaan orang yang asyik dengan sifat Tuhan.

ateis: Orang yang tidak percaya kepada Wujud Tuhan.

athar: Benda-benda yang Tuhan jadikan dan letakkan kesan padanya.

aurad:  Wirid-wirid.

azali: Suasana Pentadbiran Tuhan atau yang berada pada sisi Tuhan, yang tidak ada permulaan.

baqa: Suasana kerohanian selepas peringkat fana. Dalam kebaqaan hati merasakan kekal, iaitu tidak berpisah dengan Allah s.w.t.

baqabillah: Baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t

Balhut: Keadaan Zat Allah s.w.t yang tidak dapat dihuraikan.

barzakh: Sempadan yang memisahkan dua perkara atau keadaan yang berlainan.

basirah: Mata hati atau keupayaan mengenal yang ada pada rohani.

benih kemanusiaan: Sumber penciptaan makhluk bangsa manusia.

bidaah: Perbuatan dan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan Sunah Rasulullah s.a.w.

Cinta Allah s.w.t: Salah satu bakat ketuhanan yang ada pada Nur Allah s.w.t adalah kekuatan untuk menarik hati supaya mencintai Allah s.w.t. Hati yang menerima pancaran Nur yang demikian akan merasai kecintaan Allah s.w.t kepadanya dan pada masa yang sama lahirlah di dalam hati itu rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara bersangatan yang bercampur dengan keasyikan. Orang yang menerima pancaran Nur Cinta Allah s.w.t itu biasanya sampai kepada keadaan yang dipanggil gilakan Allah s.w.t. Hatinya hanya dipenuhi oleh Allah s.w.t, tidak ada tempat untuk yang lain.

Cinta Ilahi: Sama seperti Cinta Allah s.w.t.

Diri Batin: Rohani atau hati nurani insan yang berhubungan dengan Latifah Rabbaniah ataupun bahagian diri manusia yang bermula daripada ‘tiupan Roh Allah s.w.t’, bukan bermula daripada ‘adam. Tubuh badan memperolehi bakat dan keupayaan kerana pertaliannya dengan Diri Batin.

duniawi: Benda-benda dan perkara-perkara keduniaan.

fadilat:  Kelebihan, kemuliaan atau ketinggian.

falsafah: Satu jenis ilmu yang berlandaskan kekuatan akal yang bebas daripada pengaruh hawa nafsu, dunia dan tarikan anasir-anasir kebendaan. Akal yang demikian mampu mencungkil nilai-nilai kemanusiaan yang asli. Ia juga mampu melepasi kongkongan kebendaan untuk merenung kepada perkara-perkara ghaib dan abstrak yang berkait rapat dengan perjalanan anasir kebendaan dan alam. Akal yang demikian boleh sampai kepada tahap pertemuan dengan kenyataan tentang kewujudan Kuasa Mutlak yang mengawal sekalian makhluk.


fana: Peringkat pengalaman kerohanian di mana seseorang  mengalami suasana ketiadaan kesedaran dan ingatan terhadap kewujudan diri sendiri dan makhluk lainnya. Fana dalam Allah s.w.t adalah pengalaman di mana seseorang mengalami suasana yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama, sifat dan zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah suasana kerohanian yang dialami sebelum seseorang itu kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa.
 
fanafillah: Fana dalam Allah s.w.t, di mana seseorang mengalami suasana yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama, sifat dan Zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah suasana kerohanian yang dialami sebelum seseorang itu kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa.


fana hakiki: Fana dalam ad-din, iaitu hilang kehendak diri di dalam kehendak agama. Tidak ada yang dikehendaki melainkan apa yang agama berkehendakkan dia melakukannya. Kehendak peribadinya tunduk kepada kehendak Allah s.w.t. Setelah seseorang hamba itu fana daripada dirinya, kehendak dirinya, perasaannya dan juga daripada makhluk sekaliannya, maka Allah s.w.t bawakan si hamba itu kepada suasana yang bersesuaian kehendaknya dengan kehendak Allah s.w.t dan agama-Nya.


faqir: Orang yang meletakkan pergantungan kepada Allah s.w.t semata-mata kerana Dia jualah yang memiliki sifat-sifat iftiqar yang mewajibkan makhluk berhajat dan bergantung kepada-Nya. Kefanaan di dalam Allah s.w.t juga diistilahkan sebagai faqir. Orang faqir adalah orang yang melihat ‘dari Allah’, ‘beserta Allah’ dan ‘kepada Allah’.
fardu: Kewajipan yang dituntut oleh agama. Tidak melakukan fardu merupakan perlanggaran kepada peraturan agama.
 
fardu ain: Kewajipan yang ditanggung oleh setiap orang Islam secara individu seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.


fardu kifayah: Kewajipan yang dikongsikan oleh orang-orang Islam seperti mengebumikan mayat dan lain-lain.
 
fasiq: Orang yang engkar kepada perintah agama dan mengadakan perlanggaran terhadap peraturan agama secara terbuka.


fatanah: Bijaksana. Ia adalah salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Di dalam perkara-perkara yang memerlukan kesabaran, penyerahan dan sebagainya, ia disertai oleh kebijaksanaan. Begitulah sikap yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

fi-sabilillah: Perjuangan pada jalan Allah s.w.t.

fitrah: Bakat-bakat, keupayaan dan daya nilai semulajadi yang Tuhan bekalkan bersama-sama dengan penciptaan makhluk-Nya. Fitrah setiap kejadian akan mengheret kejadian tersebut untuk mempamerkan sesuatu yang dengannya kejadian itu dikenali.

fitrah insan: Bakat-bakat, keupayaan dan daya nilai yang Tuhan kurniakan kepada manusia sejak manusia yang pertama diciptakan. Fitrah insan mengwujudkan makhluk bangsa manusia dengan identiti kemanusiaan yang nyata dan berbeza dengan makhluk yang lain. Fitrah insan juga menggerakkan manusia membina kehidupan di dalam dunia ini dengan berlandaskan nilai moral yang murni.

fitrah manusia: Sama seperti fitrah insan.
fitrah Muslim: Apabila fitrah insan disinari oleh cahaya iman ia meningkat kepada darjat fitrah Muslim. Nilai murni yang ada pada fitrah insan adalah berlandaskan kemanusiaan semata-mata. Apabila nilai murni tersebut dilandaskan kepada kepercayaan kepada Allah s.w.t dan kepatuhan kepada peraturannya baharulah fitrah insan itu menjadi Muslim.


Ghaibul Ghuyub: Keghaiban alam dan makhluk masih boleh dijangkau oleh ilmu dan kasyaf atau masih boleh dijangkau oleh alam perasaan. Keghaiban Allah s.w.t melepasi kemampuan jangkauan ilmu, kasyaf dan alam perasaan. Benteng keperkasaan Allah s.w.t menahan apa sahaja daripada menyentuh-Nya. Keghaiban yang begini dinamakan Ghaibul Ghuyub.

Ghaibul  Mutlak: Sama seperti Ghaibul Ghuyub.

ghirah: Kecemburuan beragama. Perasaan yang demikian menggerakkan seseorang menjaga kemuliaan dan kesucian agamanya dan mempertahankannya daripada musuh-musuh yang cuba merosakkan agamanya dan juga penganut agamanya.

Habiballah: Lihat Hakikat Habiballah.

Hadrat: Rasa kehadiran Allah s.w.t yang dialami oleh hati, seperti rasa kehampiran-Nya, keperkasaan-Nya, keelokan-Nya dan sebagainya.

hakikat: Kebenaran yang tulen dan sejati mengenai sesuatu perkara. Kebenaran yang paling benar adalah yang pada sisi Tuhan dan hanya Tuhan yang mengetahuinya dan ia dinamakan hakikat kepada sesuatu perkara itu. Manusia diberikan sedikit ilmu sahaja mengenai hakikat tersebut.

Hakikat Abdul Rab: Kewujudan hamba dalam ilmu Allah s.w.t. Dalam perjalanan kerohanian selepas peringkat fana seseorang itu memasuki peringkat baqa. Dalam kebaqaan itulah dia menyaksikan hakikat dirinya yang pada sisi Tuhan sebagai hamba Tuhan. Sebelum alam diciptakan wujud kehambaannya sudah pun ada pada sisi Tuhan. Hakikat dirinya itu tidak berpisah dengan Tuhan sejak azali sehinggalah kepada yang abadi. Penyaksian yang demikian membuatnya merasakan kekal atau baqa bersama-sama Allah s.w.t.

Hakikat Adam/Adamiyah: Hakikat kepada Nabi Adam a.s. Ia adalah kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, yang berdasarkan kepadanya Adam a.s dan keturunannya diciptakan. Apa sahaja yang diciptakan oleh Tuhan menunjukkan bahawa perkara tersebut sudahpun ada pada sisi-Nya sebelum ia diciptakan. Salik bertembung dengan Hakikat Adamiyah ketika terjadi keasyikan pada peringkat kalbu. Kesan pertembungan dengan Hakikat Adamiyah menyebabkan muncul cahaya nur berwarna kuning yang bergemerlapan pada cermin hati salik. Nur yang menyinari hati salik itu mendorong salik untuk kuat bertaubat kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan ibadatnya.


Hakikat Ahmad/Ahmadiah: Urusan pentadbiran Tuhan mengenai roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan. Ia adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya dipanggil Roh Muhammad. Dalam suasana roh ia dinamakan Ahmad.

Hakikat Alam: Kewujudan alam dalam ilmu Tuhan.

Hakikat Asma’: Kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, dinamakan Hakikat. Ia adalah hal atau keadaan Tuhan ataupun suasana pentadbiran dan urusan Tuhan, samada mengenainya diri-Nya ataupun makhluk-Nya. Salah satu hal-hal mengenai Tuhan adalah nama-nama-Nya. Nama Tuhan adalah wujud Hakikat, iaitu wujud pemerintah yang menguasai sekalian makhluk. Boleh juga dikatakan bahawa nama-nama Tuhan adalah bakat-bakat ketuhanan atau Rububiah. Dalam pengalaman kerohanian seseorang sampai kepada peringkat menyaksikan hubungan nama-nama Tuhan dengan Diri-Nya yang menguasai nama-nama tersebut dan kekuatan serta bakat ketuhanan yang ada pada nama-nama Tuhan terhadap sekalian makhluk. Pengalaman yang demikian dikatakan dia mengalami Hakikat Asma’.

Hakikat Habiballah: Nabi Muhammad s.a.w boleh dilihat dari beberapa aspek. Baginda s.a.w adalah rasul-Nya yang membawa perkhabaran mengenai-Nya secara sempurna. Dalam aspek kerasulan yang paling lengkap dan sempurna ini baginda s.a.w dilihat sebagai bekas yang mempamerkan apa yang ada pada sisi Tuhan yang dinamakan Hakikat Muhammad. Baginda s.a.w adalah makhluk yang paling mengenali Allah s.w.t. Baginda adalah yang paling mengetahui cara-cara pengabdian kepada-Nya. Baginda juga merupakan orang yang paling mengasihi Allah s.w.t dan baginda jugalah makhluk yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam. Apabila melihat Nabi Muhammad s.a.w dalam aspek rahmaniat Tuhan baginda s.a.w dipanggil Habiballah atau kekasih Allah. Habiballah adalah hamba Tuhan yang paling benar dan paling diredai-Nya. Baginda s.a.w telah menunjukkan jalan yang paling benar dan paling diredai itu. Dalam pengalaman kerohanian seseorang menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w dalam berbagai-bagai aspek seperti Hakikat Muhammad, Nur Muhammad, Muhammad Insan Kamil dan lain-lain. Semua aspek-aspek tersebut adalah kewujudan dalam ilmu Allah s.w.t. Penghayatan, daya rasa, ingatan dan kesedaran di dalam ilmu itu bercampur dengan kemabukan, kefanaan dan kebaqaan atau dikatakan berada dalam suasana hakikat. Apabila seseorang dapat melihat Nabi Muhammad s.a.w sebagai Habiballah yang berjalan sebagai manusia biasa di atas muka bumi, memakai sifat-sifat dan nilai kemanusiaan, baharulah dia dapat kembali kepada kesedaran biasa dengan sempurna atau baharulah dia boleh keluar dari makam hakikat dan masuk sepenuhnya kepada makam syariat. Penghijrahan dari makam hakikat kepada makam syariat sukar dilakukan kerana kesan kefanaan, kemabukan, zauk dan kebaqaan sukar hilang dari hati salik.



Hakikat Haiwan: Kewujudan dalam ilmu Tuhan yang mengawal penciptaan keturunan semua haiwan.


Hakikat hamba Tuhan:  Sama seperti Hakikat Abdul Rab.

Hakikat Ibrahim/Ibrahimiyah: Hakikat kepada Nabi Ibrahim a.s iaitu kewujudan hakikat yang pada sisi Tuhan yang mengawal penciptaan Nabi Ibrahim a.s. Hakikat nabi-nabi mempunyai pengaruh dan kesan terhadap hakikat-hakikat yang lain. Hakikat Nabi Muhammad s.a.w mempunyai kesan dan pengaruh yang paling besar dan paling kuat terhadap semua hakikat-hakikat. Di bawah daripada itu adalah hakikat nabi-nabi yang lain termasuklah Hakikat Nabi Ibrahim a.as. Hakikat adalah suasana ketuhanan mengenai makhluk-Nya. Apa sahaja urusan Tuhan dinyatakan sebagai nur. Malaikat yang menjalankan urusan Tuhan adalah nur. Kesan hakikat yang diterima oleh cermin hati adalah dalam suasana nur juga. Hakikat Ibrahimiyah diterima oleh hati ketika berlaku keasyikan pada makam roh, iaitu roh haiwani yang menghidupkan jasad.. Pertembungan dengan kesan Hakikat Ibrahimiyah tersebut membuat mata hati menyaksikan nur atau cahaya berwarna merah yang bergemerlapan. Ini bukan bermakna Hakikat Ibrahimiyah itu berwarna merah. Kesan daripada hakikat umpama haba yang ‘memanaskan’ cermin hati dan hasilnya muncullah cahaya api dalam cermin hati itu. Begitu juga keadaannya apabila berlaku pertembungan hati dengan kesan hakikat-hakikat yang lain. Pancaran nur Hakikat Ibrahimiyah itu mendorong hati supaya kuat berserah diri kepada Allah s.w.t dan kuat bersabar dalam menempuh ujian.


Hakikat Insan: Suasana, keadaan atau hal Pentadbiran Tuhan yang mengenai umat manusia dan menguasai kewujudannya. Apa sahaja yang Tuhan tentukan untuk umat manusia sejak azali sampailah kepada yang abadi telah ada pada suasana Hakikat Insan yang pada sisi Tuhan. Apa sahaja yang terzahir daripada penguasaan Hakikat Insan akan menjadi manusia.


Hakikat Insan Kamil: Hakikat Insan Kamil adalah suasana kerohanian pada permulaan baqa, setelah melepasi peringkat fana. Dalam suasana tersebut sering muncul kesedaran tentang kesatuan wujud (wahdatul wujud) di mana Wujud Tuhan dengan wujud hamba disaksikan sebagai satu. Hakikat Insan Kamil merupakan pertemuan makam kehambaan dengan makam ketuhanan. Dalam suasana inilah ucapan “ana al-Haq!” selalu keluar dari mulut orang yang sedang karam di dalam kesedaran Insan Kamil itu. Ada juga orang yang memasuki suasana ini tanpa hilang kesedaran kehambaannya. Dia hanya menyaksikan Insan Kamil bukan menjadi Insan Kamil. Dalam hal ini Insan Kamil menjadi titik permulaan untuk dia menyaksikan hakikat kehambaan dirinya di dalam ilmu Allah s.w.t atau pada sisi-Nya.


Hakikat Isa/Isaiyah: Pertembungan hati dengan Hakikat Isaiyah berlaku ketika terjadi keasyikan pada peringkat kebatinan yang dinamakan khafi. Kesan pertembungan itu menyebabkan cermin hati tertangkap cahaya nur yang berwarna hitam yang bergemerlapan. Ketika ini gelombang kefanaan sedang kuat melambung hati salik. Kesedaran pancainderanya sudah tidak ada lagi. Dalam suasana yang demikian akan lahirlah sifat-sifat dan perwatakan yang dianggap sebagai tidak normal mengikut penilaian orang ramai. Nur yang terpancar melalui pertembungan dengan Hakikat Isaiyah itu membuat hati bertambah kasih kepada Tuhan dan ingatan hanya tertuju kepada-Nya semata-mata. Hubungan salik dengan yang selain Allah s.w.t tidak aktif. Pada tahap ini ingatan dan kesedaran salik hanyalah tertumpu kepada Allah s.w.t hinggakan dia tidak tahu dirinya dan makhluk lainnya.


Hakikat Kacang: Suasana, keadaan atau hal pentadbiran Tuhan yang menguasai kewujudan generasi kacang. Apa sahaja yang terzahir melalui penguasaan Hakikat Kacang akan menjadi kacang.


hakikat kemanusiaan: Sama seperti Hakikat Insan, iaitu suasana pentadbiran Tuhan mengenai generasi manusia.


hakikat kenabian: Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan nabi-nabi. Hakikat ini adalah Hakikat Muhammadiah yang menjadi penjana ilmu nabi-nabi. Setiap nabi memperolehi bahagian tertentu daripada pancaran nur Hakikat Muhammadiah, sementara Nabi Muhammad s.a.w memperolehi pancaran tersebut secara penuh.


hakikat kepada semua hakikat-hakikat:` Hakikat Muhammadiah.


hakikat kewalian: Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan wali-wali. Wali-wali menerima kesan pancaran nur Hakikat Insan Kamil dan Hakikat Abdul Rab. Darjat seseorang wali itu bergantung kepada kekuatan nur Insan Kamil dan Abdul Rab yang diterimanya.


Hakikat Khalifah: Setelah menemui hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab salik memperolehi sepenuhnya kesedaran kemanusiaannya yang hilang ketika fana dan mula kembali sedikit demi sedikit ketika baqa. Pancaran nur Hakikat Khalifah memberi kekuatan dan bimbingan kepada salik untuk menguruskan hal-ehwal kehidupannya dan juga bidang yang diamanahkan kepadanya. Salik yang telah sampai ke peringkat ini sudah melepasi kesan kemabukan dan kefanaan dan dia boleh kembali kepada kehidupan orang ramai tanpa menimbulkan fitnah dan kekeliruan.


Hakikat Malaikat: Suasana pentadbiran Tuhan berhubung dengan penciptaan malaikat-malaikat.


Hakikat Manusia: Sama seperti Hakikat Insan.


Hakikat Maut: Bakat ketuhanan atau Rububiah yang mengawal dan berkuasa dalam bidang mematikan setiap yang hidup. Nur Rububiah yang menguasai maut itu menyinari malaikat Izrail, maka Izrail memperolehi pengetahuan tentang perjalanan maut dan bakat serta keupayaan mematikan dipikul oleh Izrail.



Hakikat Muhammad/Muhammadiah: Hakikat yang menyeluruh iaitu Hakikat yang menguasai sekalian hakikat-hakikat. Semua hakikat-hakikat yang lain merupakan bahagian-bahagian daripada Hakikat yang satu ini. Hakikat Muhammadiah adalah Hakikat yang penuh dan lengkap dan hakikat yang lain mempamerkan apa yang ada dengan Hakikat Muhammadiah itu. Gabungan semua hakikat-hakikat itu baharu menyamai Hakikat Muhammadiah ini. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t bermula atau dijanakan oleh Hakikat Muhammadiah. Apabila Hakikat Muhammadiah dilihat sebagai urusan Allah s.w.t dan dalam aspek hubungannya dengan Allah s.w.t ia dikenali sebagai Nur Allah. Apabila ia dilihat dalam aspek penjana kewujudan Nabi Muhammad s.a.w ia dikenali sebagai Nur Muhammad. Apabila ia dilihat dalam segi penjana manusia-manusia yang sempurna ia dikenali sebagai Insan Kamil. Apabila ia dilihat dalam segi penjana kepada sekalian kewujudan makhluk ia dinamakan Hakikat Insan atau Hakikat Alam. Pertembungan hati salik dengan Hakikat Muhammadiah berlaku dalam kefanaan, ketika ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada lagi. Pandangan mata hati kepada Hakikat Muhammadiah menimbulkan makrifat tentang urusan pentadbiran Tuhan yang meliputi segala sesuatu. Pengalaman kerohanian yang mengenai Hakikat Muhammadiah ini berlaku pada alam kebatinan yang dinamakan akhfa, iaitu batin atau kesedaran kerohanian yang paling dalam. Kesan daripada pancaran nur Hakikat Muhammad atau Nur Muhammad menyebabkan muncul cahaya hijau yang bergemerlapan pada cermin hati salik. 


Hakikat Musa/Musawiyah: Hakikat kepada Nabi Musa a.s. Pertembungan hati salik dengan Hakikat Musawiyah berlaku dalam keasyikan pada makam Sir, iaitu Roh Insan yang menerima tiupan daripada hakikat roh atau dipanggil Roh Allah. Sinaran nur Hakikat Musawiyah melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t yang tidak berbelah bahagi.


Hakikat Nuh/Nuhiyah: Hakikat kepada Nabi Nuh a.s. Peranannya dan makamnya sama dengan Hakikat Ibrahimiyah. Sinaran nur Hakikat Nuhiyah menambahkan kekuatan salik untuk memperbetulkan jalannya menuju Allah s.w.t.

Hakikat Roh: Urusan Tuhan yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang menguasai semua roh-roh.


Hakikat Syariat: Kebenaran yang sebenar mengenai syariat yang diturunkan oleh Tuhan. Kefahaman mengenai hakikat syariat dan hakikat-hakikat yang lain dibukakan oleh Tuhan kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, sekadar yang dikehendaki-Nya. Kefahaman sebenar tentang hakikat hanya terjadi melalui pembukaan Tuhan bukan melalui pembelajaran.


Hakikat Yang Menyeluruh: Hakikat Muhammadiah.

Hakikat Wali: Suasana, keadaan atau hal pentadbiran Tuhan yang menguasai kewalian. Sesiapa yang menerima penguasaan Hakikat Wali akan menjadi wali.


hal: Pengalaman kerohanian mengenai Tuhan yang dialami oleh hati. Pengalaman hubungan hati dengan Tuhan itu membentuk rasa, zauk atau hal yang melahirkan pengenalan tentang Tuhan.


hamba rabbani: Hamba yang sampai kepada tahap bersesuaian kehendaknya dengan kehendak Allah s.w.t. Apa sahaja yang sampai dan keluar daripadanya semuanya sudah ditapis dan diredai oleh Allah s.w.t. Hamba yang demikian menjadi wakil-Nya dan diizinkan untuk menggunakan cop mohor-Nya dalam melaksanakan tugasnya. Perkara-perkara luarbiasa selalu muncul daripada hamba-hamba yang demikian.


haqqul yaqin: Keyakinan yang sebenar-benarnya. Dalam suasana haqqul yaqin, ilmu dan pengalaman kerohanian, termasuklah penemuan melalui kasyaf, adalah bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah. 

Haq:  Yang Sebenarnya, iaitu Tuhan.

hari akhirat: Suasana alam dan sekalian makhluk selepas berlakunya kiamat. Walaupun ia dinamakan hari tetapi ia tidak terlibat lagi dengan masa kerana sukatan masa diukur dengan peredaran bumi mengelilingi matahari. Dalam suasana akhirat tidak ada lagi neraca pengukur masa. Masanya ialah tanpa kesudahan atau abadi.


hari kebangkitan: Hari akhirat.

hari kiamat: Saat atau ketika Allah s.w.t menghancur-leburkan sekalian makhluk. Ikut hancur ialah sistem sebab musabab dan sistem alam. Kemudian Allah s.w.t bina alam yang baharu dengan sistem yang baharu. Dalam alam yang baharu itu tidak ada lagi ruang untuk beramal. Apa juga amalan yang hendak dilakukan mestilah dilakukan sebelum berlaku kiamat.


Haula dan Kuwwata: Kekuatan dan kekuasaan Allah s.w.t yang daripadanya makhluk memperolehi daya, upaya dan bakat yang dengan itu makhluk boleh memiliki berbagai-bagai kebolehan seperti bergerak, berkehendak, mendengar, melihat, merasa, berfikir dan lain-lain.


hidayat: Pimpinan dari Tuhan.

hijab: Kegelapan yang menutupi hati daripada menyaksikan kepada Alam Malakut dan hal-hal ketuhanan. Hati berhubung dengan Alam malakut dan hal-hal ketuhanan melalui nur. Kegelapan nafsu, tarikan anasir-anasir alam dan waswas syaitan menutupi cermin hati daripada menerima nur yang datangnya dari alam ghaib.


Hijab al-‘Izzati: Hijab ketuhanan iaitu kekuasaan Tuhan yang menghalang segala sesuatu daripada menceroboh keesaan-Nya. Tidak ada makhluk yang dapat duduk bersebelahan dengan Allah s.w.t. Tidak ada ilmu dan makrifat yang dapat membatasi-Nya.


Hijab Keteguhan: Hijab al-‘Izzati.

0 comments:

Catat Ulasan

 

Popular Posts

singaperang Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template